PUTRAJAYA:Kerajaan akan cuba mendapatkan vaksin COVID-19 dari mana-mana pengeluar di seluruh dunia dan tidak hanya tertumpu kepada China, Rusia dan Amerika Syarikat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini kerajaan sudah berunding dengan 10 syarikat pengeluar vaksin COVID-19.

“Setakat sekarang kita seberapa mungkin, kita akan cuba mendapatkan bekalan dari mana-mana pengeluar sama ada datang dari China, Rusia, Amerika Syarikat hatta pengeluar dari mana sahaja asalkan ia telah diuji, agak berkesan dan selamat.

“Kita dah berunding dengan 10 daripada 12 syarikat vaksin COVID-19 yang berada dalam ujian klinikal Fasa 3 yang mana datangnya dari China, Rusia, dan Amerika Syarikat, tak kira daripada mana sumbernya,” katanya.

BACA: Malaysia dijangka terima vaksin COVID-19 awal tahun depan - PM

BACA: COVID-19: Pfizer dan BioNTech bakal bekal 12.8 juta dos vaksin kepada Malaysia

Beliau berkata demikian pada sidang media secara sidang video di sini pada Jumaat yang turut disertai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Tambah beliau, Malaysia juga membuka pintu seluasnya buat pengusaha dan pelabur tersebut untuk datang dan membina kilang di negara ini.

“Kita tawarkan insentif agak menarik dalam tempoh 2021 dan 2022 untuk syarikat yang ingin melabur.

“Mereka akan diberikan layanan istimewa dan insentif yang agak istimewa daripada biasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yakin fasiliti kesihatan negara adalah mencukupi bagi menerima dan menggunakan vaksin COVID-19.

Menurutnya, pelaksanaan penggunaan vaksin itu bukan sahaja melibatkan fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tapi akan diperluaskan kepada fasiliti kesihatan lain.

“Ini bukan hanya pelaksanaan melibatkan fasiliti KKM tapi juga akan kita perluaskan kepada fasiliti kesihatan yang datang dari agensi kerajaan yang lain seperti Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hospital universiti dan lain-lain.

“Kita juga akan mengkaji pelaksanaan vaksinasi COVID-19 terutamanya semasa fasa ketiga pelaksanaan. Ini maknanya dari semasa ke semasa, kita akan lihat keperluan kalau ada fasiliti lain untuk kita tambah.

“Ia bagi memastikan kemudahan ini dapat digunakan sepenuhnya,” katanya.