Kerajaan akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar berhubung kengganan Australia mengambil semula sisa pembuangan radioaktif daripada kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata buat masa ini isu mengenai perkara berkenaan ditangguhkan sehingga mendapat maklumat terperinci daripada kementerian terbabit.

“Itu satu pengkhususan yang mesti kita ambil kira, saya akan dapatkan maklumat daripada kementerian berkaitan sebab kalau saya keluarkan kenyataan tanpa sebarang maklumat ini tidak betullah, jadi kita tangguh dulu,” katanya kepada media di Lobi Parlimen, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian dan langkah Malaysia apabila pada Isnin Australia menolak tawaran kerajaan Malaysia untuk menghantar balik sisa pembuangan radioaktif daripada kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Kenyataan itu dibuat oleh Menteri Perhubungan Industri, Tenaga, Petroleum dan Perlombongan Australia Barat, Bill Johnston, yang mengakui bahawa jalan terbaik untuk memusnahkan sisa berkenaan ialah dengan membawanya balik ke tempat asal, tetapi berkata Australia Barat tidak akan sama sekali menerima sisa itu dari luar negara.

Nadir bumi yang diproses di kilang di Lynas, Kuantan digelar sebagai ‘Lynas Advanced Material Plant (LAMP), berasal daripada Mount Weld, Australia Barat.

Terdahulu, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, sudah meminta Lynas menghantar balik sisa berkenaan ke Australia sebagai syarat pelesenan, khususnya dalam sisa ‘Water Leach Purification’ (WLP).

Fasiliti Lynas menghasilkan dua jenis sisa iaitu WLP radioaktif dan bahan bukan radioaktif ‘neutralisation underflow’ (NUF).

Sejak Disember lalu, sisa WLP yang terkumpul di Lynas mencatat 451,564 tan, manakala sisa NUF dilaporkan berjumlah 1.113 juta tan.

Lynas sudah berusaha mengubah NUF menjadi produk komersial, namun kajian perintis mendapati penggunaannya sebagai baja membawa kepada peningkatan tahap logam berat, walaupun dalam tahap yang dibenarkan.