Kerajaan akan mengkaji keberkesanan sistem giliran atas talian (online) bagi temujanji pesakit di klinik-klinik kerajaan menjelang akhir tahun ini.

Ini kerana, Kementerian Kesihatan ingin memastikan sistem ini dilihat dari semua aspek bagi memastikan ia mampu memudahkan proses temujanji buat pesakit.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pihaknya kini sedang dalam perbincangan lanjut bagi memperincikan sistem ini.

"Antara aspek yang perlu dilihat, salah satunya ialah bukan semua pesakit akan gunakan sistem ini.

"Selain itu, kita juga perlu mewujudkan kaedah bagi memberi keistimewaan kepada golongan tertentu seperti Orang Kelainan Upaya (OKU) dan juga warga emas," kata Dr Subramaniam di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dari Dr Izani Husin (Pas-Pengkalan Chepa) tentang adakah Kerajaan berhasrat memperluaskan projek perintis nombor giliran dalam talian di klinik kesihatan kerajaan dan sejauh manakah keberkesanan projek tersebut.

Projek perintis sistem ini dimaklumkan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya pada Ogos tahun ini dan dijadualkan berakhir penghujung tahun nanti