Kerajaan akan mengkaji setiap kes yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk dibebaskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkata, pihaknya akan mengarahkan peguam negara untuk meniliti setiap kes mereka yang sudah ditahan sebelum ini di bawah SOSMA.

"Kita akan lihat apakah mereka boleh dibebaskna atau terus ditahan kerana ada diantara mereka ini masih lagi dalam 'security crime'," katanya dalam sidang media selepas Majlis Hari Raya Aidil Adha 2018 bersama Anggota Unit Beruniform Sandakan, di perkarangan parkir Pejabat Parlimen, lot kedai Taman Vista, pada Ahad.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penghapusan SOSMA, Vui Keong menjelaskan ia berkemungkinan mengambil tempoh tiga hingga enam bulan lagi.

"Ini kerana ia melibatkan isu keselamatan negara kita. Diharapkan pihak berkaitan dapat bersabar sedikit.

"Dalam masa sama kerajaan akan pastikan ada akta digunakan untuk kesalamatan negara kita," katanya.

Selain itu, Liew berkata, beberapa akta turut sedang sedang dikaji untuk dihapuskan antaranya Akta Percetakan.