Kerajaan akan melihat semula keputusan rasionalisasi subsidi supaya ia benar-benar dapat meringankan bebanan kumpulan sasaran, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata subsidi kerajaan perlu dilihat secara lebih holistik, dalam usaha meringankan bebanan rakyat terutamanya kumpulan sasar.

"(Langkah) Lihat semula beberapa keputusan yang kita (kerajaan) buat untuk merasionalisasi subsidi itu (supaya) dapat meringankan beban kumpulan sasar.

"Kita (kerajaan) rasionalisasi subsidi supaya subsidi itu tidak digunakan oleh pihak yang tidak berapa layak, mereka yang menanggung beban kerana pendapatan kecil perlu dapat bantuan besar dengan cara menjimatkan subsidi tetapi pengurangan subsidi dapat menampung keperluan kumpulan sasar," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan peralatan sekolah sumbangan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Sekolah Kebangsaan Permatang Badak, di sini Selasa.

Muhyiddin berkata selaku Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Kos Sara Hidup, beliau akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat ini dengan para menteri, timbalan menteri dan agensi berkaitan termasuk pembekal utiliti elektrik, air dan pihak berkuasa tempatan bagi membincangkan perkara itu.

"(Mesyuarat itu) Supaya boleh melihat secara holistik dan keseluruhan dan bagaimana langkah seterusnya boleh diambil oleh kerajaan, institusi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan persatuan.

"Tujuan kita kalau tempoh mendatang kita tidak dapat elakkan mungkin tempoh sederhana dan panjang dapat kurangkan bebanan. Ini dibuat kerana kerajaan prihatin tentang masalah rakyat dan tidak mahu bebanan rakyat bertambah dengan sebab pihak melakukan kenaikan kadar yang boleh timbulkan masalah," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan sedar akan isu kenaikan sara hidup ketika ini dan akan melakukan yang terbaik dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat.

"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Kos Sara Hidup, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri (bagi) melihat kepada situasi terkini dan akan mendapatkan maklum balas lebih terperinci selain keputusan dibuat untuk mengkaji semula kadar tertentu dan kos yang perlu ditanggung pengguna yang dikenakan sektor awam atau institusi kerajaan," katanya.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga telah diarah supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap para peniaga yang menaikkan harga barang atau perkhidmatan mereka sewenang-wenangnya.

"KPDNKK mengambil langkah tegas bukan memantau tetapi bertindak terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab.

"Selain itu rakyat juga ada hak bukan setakat menuntut kerajaan bertindak tetapi rakyat sendiri boleh bertindak mengikut kuasa undang-undang yang ada di bawah Akta Persaingan yang diluluskan sejak 2012," katanya.

Muhyiddin berkata dalam usaha menangani kos sara hidup, kerajaan juga akan mengambil langkah meningkatkan pendapatan rakyat, misalnya menggalakkan mereka melakukan kerja sampingan seperti menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan menceburi industri asas tani kerana pelbagai bantuan disalurkan kerajaan.

"Maka cara ini boleh tambah pendapatan dan beban kenaikan kos tidak besar," katanya.

Mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Jan, Muhyiddin berkata kerajaan juga kini bersikap berhemah dalam mengawal perbelanjaannya.

"Pastinya ia adalah langkah permulaan kerana selepas ini kementerian-kementerian sudah diberi arahan untuk mengenal pasti apa lagi inisiatif dan langkah tertentu yang boleh diambil oleh pihak jabatan dan agensi dalam kementerian untuk kurangkan dan menjimatkan perbelanjaan," katanya.

Ditanya sama ada langkah itu juga perlu disambut kerajaan negeri, Muhyiddin berkata: "Saya fikir pihak yang lain boleh ambil iktibar yang sama".