Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi jaminan bahawa kerajaan akan melunaskan semua obligasi hutang berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Kerajaan perlu mencari wang untuk membayar semua pinjaman berkaitan dengan 1MDB, meskipun kerajaan tidak mendapat sebarang pulangan dari segi nilai," katanya.

Mengulas mengenai laporan berita yang menyatakan kerajaan mencadangkan bon 1MDB bernilai RM2.4 bilion yang dipegang oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Tabung Haji (TH) ditukarkan menjadi pegangan ekuiti dalam projek Bandar Malaysia, Lim berkata pinjaman mereka adalah 100 peratus dijamin.

"Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan, pihak yang seharusnya bimbang adalah Kementerian Kewangan dan kerajaan kerana kami menjamin pinjaman mereka, jadi kami beri jaminan bahawa mereka akan mendapat wang mereka," katanya selepas menyaksikan majlis permeteraian Perjanjian Program Kerjasama antara kementerian beliau dan Bombardier Hartasuma Consortium, di sini, hari ini.

Menurut laporan berita, sukuk Islam bernilai RM2.4 bilion yang dipegang oleh KWAP dan TH semasa ia diterbitkan pada 2014 untuk mengumpulkan dana bagi Bandar Malaysia, akan ditebuskan bagi RM3 bilion mengikut terma yang dicadangkan.