Kerajaan akan membuat keputusan sama ada membawa pulang 40 rakyat Malaysia di Syria yang mahu kembali ke tanah air, ujar Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Jelasnya, perkara itu bukan di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"40 orang ini ialah yang telah berhubung dengan kita untuk nak balik ke Malaysia. Daripada 40 ini, 29 adalah wanita dan kanak-kanak, 11 lelaki yang dipenjara di Hasaqah, Syria. (Keputusan bawa pulang) ini belum tentu lagi. Ini hanya 40 suspek foreign terrorist fighters yang menghubungi keluarga mereka.

"Keluarga mereka menghubungi polis, sama ada mereka akan dibawa pulang atau tidak. Ini bukan keputusan PDRM, kerajaan akan membuat keputusan kerana ia melibatkan banyak agensi. (Keputusan) nak bawa pulang 40 orang itu belum lagi," katanya dalam satu sidang media khas di Bukit Aman pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, apa sahaja kesalahan yang dilakukan, mereka masih warganegara Malaysia dan polis akan melakukan tindakan yang sewajarnya.

"Ini yang berhubung dengan kita. Walaupun Oktober lepas kita sudah bawa balik seorang wanita dan dua kanak-kanak. Kena ingat walau apapun kesalahan yang dibuat, mereka masih lagi rakyat Malaysia. Jadi ia adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu mereka," tambahnya.

Namun apa yang pasti, suspek lelaki terlibat akan didakwa jika dibawa pulang ke Malaysia.

"Yang pasti, suspek lelaki ini kita akan tuduh di mahkamah. Itu pasti. Wanita dewasa akan dinilai semula apa peranan mereka di Syria, dan kalau cukup bukti, kita akan tuduh juga.

"Namun bagi kanak-kanak pula, ada yang setahun, enam bulan, dua tahun, dan lima tahun, mereka akan melalui proses kaunseling dan sebagainya," tambah beliau.

PDRM sebelum ini mendedahkan seramai 40 daripada 65 rakyat Malaysia yang ditahan di Syria telah berhubung dengan pihaknya dan menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia.