Kerajaan akan menunaikan segala janji dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu dalam tempoh 100 hari walaupun berdepan dengan situasi sukar.

Jelas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ia adalah kerana kedudukan semasa kewangan negara sebenarnya lebih buruk daripada apa yang dijangkakan sebelum ini.

“Janji-janji ini akan ditunaikan tetapi ia perlu ambil kira keadaan kewangan (negara) dan juga supaya tidak menjejaskan pentadbiran negara.

"Tetapi janji-janji ini akan dilakukan dalam 100 hari,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang kedua sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

Hasil daripada mesyuarat tersebut juga Jemaah Menteri bersetuju memutuskan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dibatalkan, tertakluk kepada perbincangan dengan kerajaan Singapura kerana ia membabitkan implikasi kewangan yang tinggi.

Kerajaan juga memutuskan untuk tidak meneruskan projek MRT laluan ketiga.

Selain itu, Dr Mahathir juga mengumumkan penubuhan Tabung Harapan Malaysia yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan rakyat Malaysia yang prihatin menyalurkan derma bagi memperkukuh kedudukan kewangan negara.

Turut diumumkan ialah bantuan khas sebanyak RM400 bagi untuk penjawat awam B41 ke bawah dan RM200 bagi pesara kerajaan.

Sementara itu, sempena sambutan hari raya Aildilfitri bulan depan, diskaun 50 peratus bayaran tol akan diberikan bermula dua hari sebelum hari raya membabitkan semua lebuh raya.

Antara lain yang diumumkan ialah penubuhan Majlis Penasihat Pertanian Negara, dan skim kawalan harga sempena hari raya, ”Sayangi Malaysiaku” sebagai tema Hari Kebangsaan 2018, program Permata Negara akan dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pendidikan, harga diesel dan RON95 dikekalkan manakala RON97 diapung mengikut pasaran.