Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, angka itu diperolehi selepas mengambil kira defisit keseluruhan termasuk pembiayaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan kesan COVID-19.

“Ia berdasarkan Standard Government Finance Statistics 1986, hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM823.8 bilion iaitu berdasarkan had statutori kedudukan hutang adalah pada kadar 53.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ia termasuk komitmen jaminan sebanyak RM166.9 bilion bagi melaksanakan projek infrastruktur, hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM32.6 bilion dan anggaran liabiliti kewangan lain sebanyak RM181.4 bilion,” katanya.

Abd Rahim menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) yang bertanya mengenai jumlah hutang negara dan liabiliti sebenar kerajaan terkini dan jumlah anggaran hasil pendapatan negara pada tahun
2020 dan langkah-langkah untuk memulihkan ekonomi serta meningkatkan hasil pendapatan negara susulan impak wabak COVID-19.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 sebelum ini mengesahkan kedudukan keseluruhan hutang awam dan komitmen kewangan kerajaan adalah berjumlah RM1.021 trilion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebelum ini berkata, tahap hutang negara berkemungkinan mencecah had berkanun 55 peratus pada akhir tahun ini daripada 52 peratus ketika ini berikutan pelaksanaan langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan serta merangsang ekonomi.