Kerajaan membelanjakan kira-kira RM70 juta untuk membayar bil elektrik bagi program Lampu Jalan Kampung (LJK) di seluruh negara pada tahun lalu, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata setakat akhir tahun lepas, sebanyak 255,000 lampu dipasang di Semenanjung; 31,811 unit di Sabah dan 27,259 unit di Sarawak dengan anggaran bil seunit sekitar RM17.04 sebulan.

"Kita menjangkakan jumlahnya meningkat tahun ini kerana Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah memperuntukkan RM100 juta bagi memasang 122,133 unit LJK untuk 2017.

"Sehingga kini, 80 peratus kerja pemasangannya telah siap dan kita jangkakan ia dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan LJK 2017 di Kampung Guai, di sini semalam.

Ismail Sabri berkata program LJK 2017 turut melibatkan pemasangan lampu jenis Diod Pemancar Cahaya (LED) yang lima kali ganda lebih terang berbanding lampu jenis 'High Pressure Sodium Vapour' (HPSV) yang dipasang sebelum ini.

Katanya daripada 122,133 unit LJK yang dipasang tahun ini, sebanyak 6,333 unit adalah jenis LED yang diletakkan di kawasan strategik umum seperti masjid dan simpang utama jalan.

Menurutnya di Pahang sahaja LJK melibatkan pemasangan 7,000 lampu HPSV dan 770 lampu LED.

Beliau juga berkata sejak program LJK dilaksanakan pada 2003, kerajaan menerusi kementeriannya telah membelanjakan kira-kira RM245 juta.

"Program LJK walaupun menggunakan belanja yang tinggi, amat diperlukan. Malah perdana menteri sendiri telah meminta supaya kampung-kampung yang dahulunya berada dalam keadaan gelap, diterangkan sebaik mungkin.

"Beliau tidak mahu keadaan yang malap itu berterusan kerana bimbang dengan keselamatan termasuk kemalangan yang mudah berlaku dalam keadaan jalan raya yang sempit dan gelap.

"Perdana menteri sendiri berkali-kali mengingatkan saya tentang perkara ini dan sering menyebut kita mesti prihatin dengan keperluan rakyat, khususnya di luar bandar," katanya.

-- BERNAMA