Kerajaan menerusi mesyuarat khas pada dasarnya bersetuju untuk membenarkan aktiviti pelancongan kesihatan dari negara luar di bawah kategori hijau memasuki negara bagi mendapatkan rawatan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu diberikan sama ada mereka menggunakan pesawat komersial mahupun sewa khas.

"Antara negara dalam ketegori itu ialah termasuk Brunei, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand.

"Walau bagaimanapun, ianya adalah tertakluk kepada perbincangan bersama di antara pihak Kementerian Luar Negeri dan negara terbabit berkenaan kebenaran pergerakan rentas sempadan negara masing-masing," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mereka yang terlibat perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum berlepas.

"Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mereka akan terus dibawa ke hospital untuk rawatan," jelasnya.