Kerajaan berjaya mengutip semula kira-kira RM2 bilion yang dikesan berlaku ketirisan dalam jabatan dan agensi kerajaan, kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Beliau berkata kejayaan itu hasil daripada proses pengauditan yang dilaksanakan Jabatan Audit Negara kira-kira empat tahun lalu terhadap sampel di jabatan dan agensi kerajaan yang sebelum ini mengalami kelemahan dalam pengurusan kewangan kerajaan.

"Kita audit berdasarkan sampel, kalau kita nak audit 10,000 sekolah mana boleh, jadi kita buat sampel terhad, berdasarkan sampel ini pun kita sudah dapat kenal pasti.

"Kita buat audit tiap-tiap tahun, apabila kita buat kajian, kita lihat semula. Kesan daripada pengauditan ini dari segi positifnya ialah jabatan dan agensi kerajaan dapat memungut balik wang-wang ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah dalam Program Bual Bicara Integriti anjuran Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Pejabat Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ambrin turut meminta semua penjawat awam di negara ini agar sedar akan tanggungjawab mereka untuk melakukan kerja dengan baik dan teratur supaya tidak berlaku ketirisan dalam pengurusan kewangan kerajaan.

Terdahulu, ketika menyampaikan ceramah tersebut, beliau berkata wang berkenaan berjaya diperoleh semula selepas jabatan dan agensi kerajaan terbabit membuat penambahbaikan terhadap kelemahan antaranya proses pembayaran bagi melaksanakan projek, perbekalan dan perkhidmatan. - Bernama