Kerajaan masih mempertimbangkan sama ada akan mengambil tindakan ke atas ibu bapa yang menolak untuk memvaksin anak-anak mereka sehingga boleh mendatangkan kemudaratan.

Pelaksanaan undang-undang ke atas kecuaian ibu bapa yang tidak berbuat demikian akan dibincangkan dengan lebih terperinci di Kabinet.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ada sesetengah perkara yang perlu dipertimbangkan terutama apabila ia membabitkan kematian.

“Kita akan fikirkan macam mana. Kita ada macam-macam masalah. Kalau ibu bapa mengabaikan (vaksin) dan anak itu meninggal, dah sedih.

“Jadi untuk ambil tindakan undang-undang, ada sesetengah perkara yang kita kena pertimbangkan,” katanya.

Wan Azizah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Yayasan Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

BACA: Kes campak global meningkat 50 peratus, pengaruh antivaksin antara punca

BACA: Kedah antara negeri tertinggi tolak vaksin

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga memberitahu beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengeluarkan fatwa berhubung kesahihan vaksin.

“Kita syorkan kanak-kanak diberikan vaksin. Itu adalah asas sebenarnya diadakan vaksinasi. Namun ada yang mempertikaikan apakah kesahihan sama ada ia halal.

“Itu adalah satu pertikaian, tapi saya ingat Jakim dah keluarkan fatwa jadi saya rasa ibu bapa eloklah kita ada vaksinasi. Ibu bapa, jangan lah dengar (pertikaian), memang mungkin ada satu atau dua yang kurang bernasib baik, tapi yang lain itu selamat,” katanya.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Kesihatan, populasi Malaysia yang menerima vaksin campak hanya 85 peratus sedangkan untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity) memerlukan sekurang-kurangnya 95 peratus.

“Tolong dapatkan nasihat yang betul daripada pakar kesihatan sebelum memutuskan untuk tidak memberi suntikan vaksin kepada anak-anak. Fikirkan keselamatan anak anda dan kanak-kanak lain,” katanya.

BACA: 'Task force' Kementerian Kesihatan kaji cadangan wajib vaksin

BACA: Tiada vaksin, tiada sekolah: PIBG setuju saranan PERDIM