Kerajaan pimpinan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi komitmen yang tinggi untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India di negara ini, kata Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Menteri Kesihatan itu berkata komitmen tersebut dapat dilihat menerusi pelbagai pengumuman istimewa untuk pembangunan masyarakat India dalam pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 27 Okt lepas.

Katanya, pelbagai peruntukan dan program disediakan untuk masyarakat India seiring dengan masyarakat lain.

"Saya berharap apa yang dilakukan oleh pemimpin kita akan mendapat sokongan daripada masyarakat India dan melalui sokongan itulah yang kita boleh buat pelbagai program untuk masyarakat India," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2017 di Ladang Info Ternak di sini pada Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan majlis itu yang turut dihadiri kira-kira 8,000 orang.

-- BERNAMA