Sentiasa memandang ke hadapan dalam menggubal polisi dan melaksanakannya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak akan mengorbankan masa hadapan negara demi undian.

Najib menyentuh Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya sekadar pelan jangka masa pendek yang tidak mempedulikan kesannya kepada negara.

“Lihat sahaja Manifesto PH mereka berjanji dalam 100 hari akan menghapuskan tol di seluruh negara. Menghapuskan tol sahaja akan menelan belanja RM380 billion. Anehnya orang yang melafazkan itu adalah orang yang membuat tol.

“Selepas ini saya gelar dia ‘Bapa Tol Negara’ tetapi dia mahu hapuskan tol pula. Bayangkan, jika hutang negara meningkat sebanyak RM380 billion, orang Merapoh sendiri pun boleh membuat kira-kira sendiri.

“Hutang negara kini berjumlah RM680 billion atau 50.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jika ditambah nilai tol ini hutang negara akan meningkat sehingga RM1 trillion dalam masa 100 hari sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Perasmian Penghubungan Jalan Merapoh ke Kampung Kubang Rusa yang merupakan sebahagian Lebuh Raya Central Spine Road (CSR).

Najib menambah bahawa tindakan menghapuskan tol akan menyebabkan negara menanggung beban hutang yang berat sehingga generasi akan datang.

“Sebab itu apabila pembangkang membentang manifesto mereka, tidak ada satu badan antarabangsa pun mengiktiraf manifesto mereka. Malah mereka (badan) berkata sebaliknya ia akan menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Pengerusi BN itu menambah, kerajaan pemimpin BN sentiasa membuat perancangan yang memandang dua puluh sehingga tiga puluh tahun ke depan.

“Sebab itu apabila BN umum manifesto, saham negara naik mendadak pada tahap tertinggi pada minggu lalu iaitu 1,889 di Bursa Malaysia.

“Semasa saya mula sebagai Perdana Menteri, saham negara berada pda tahap 889 sahaja dan negara telah merekodkan lebih 90 peratus penambahan kejayaan negara," ujarnya.

Jelas Najib projek lebuh raya CSR merupakan salah satu usaha jangka masa panjang kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat di pantai timur.

Projek yang baru siap 35 peratus ini akan mengurangkan kadar kesesakan perjalanan ke pantai timur dari Kuala Lumpur, terutamanya destinasi Kota Bharu, Kelantan.

Projek jalan Merapoh ke Kampung Kubang Rusa ini telah disiapkan dengan kos RM140.35 juta berbanding kos pembinaan asal sebanyak RM176.25 juta.