Kerajaan yang mengurus tadbir negara yang ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan politik kebencian sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat melalui pelbagai jenis bantuan serta melaksanakan projek infra-rakyat.

Justeru, janji yang diberikan kepada rakyat akan ditunaikan sebaiknya dan bukanlah sekadar omong kosong serta tidak mampu ditunaikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, politik kebencian tidak seharusnya diamalkan di negara ini kerana ia tidak mencerminkan nilai murni kepada rakyat sebaliknya penekanan terhadap pembangunan negara serta soal kebajikan rakyat perlu menjadi kepada asas kepada parti politik itu sendiri.

"Kita akan pastikan negara di bawah kepemimpinan BN dan UMNO terus mengotakan janji dengan membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan kepada rakyat.

"Kita akan uruskan negara dengan lebih baik berkaitan keselamatan rakyat, hubungan antara kaum, pembangunan syiar Islam, kebajikan rakyat, pertumbuhan ekonomi, pelaburan, pengangkutan awam dan kemudahan prasarana," katanya ketika berucap pada program penyampaian Bantuan Persekolahan Pelajar Miskin Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Pekan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Tabung Haji yang juga Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Parlimen Pekan.

Program anjuran Kelab Putera 1Malaysia dan Biro Keahlian Daftar Pemilih UMNO Malaysia itu menyediakan kelengkapan persekolahan lengkap seperti beg, baju, kasut dan seluar kepada 2,000 pelajar kurang berkemampuan.

Program di kawasan Parlimen Pekan itu adalah yang ke-62 dilaksanakan dan seterusnya akan diperluaskan ke setiap Parlimen termasuk Sabah dan Sarawak.

Bantuan itu sebagai galakan dan dorongan kepada mereka supaya terus belajar, selain meringankan beban yang ditanggung ibu bapa mereka.