Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan satu mekanisme yang boleh membuat tuntutan terhadap suami yang liat membayar nafkah yang diputuskan Mahkamah Syariah setelah menceraikan isterinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata langkah itu bertujuan membela kaum wanita yang selama ini ditindas oleh sesetengah suami yang tidak melaksanakan tangggungjawab membayar nafkah kepada isteri yang mereka ceraikan.

Beliau berkata mekanisme bagi membolehkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah menggunakan kaedah seperti menuntut nafkah dari caruman Kumpulan Wang Simpanan (KWSP) dan akaun bank suami untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan setelah diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Katanya, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) jabatan itu akan memberi tempoh masa enam bulan kepada suami selepas diputuskan oleh mahkamah untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan itu.

"Dalam tempoh enam bulan itu, jika isteri tidak mendapat nafkah, tindakan undang-undang akan diambil terhadap suami dan pihaknya juga akan menuntut bayaran selama enam bulan nafkah yang diberikan BSK (kepada isteri) dari suami berkenaan.

"Saya akan bertemu dengan BSK esok atau lusa bagi membincangkan undang-undang, mal tuntutan nafkah kerana ia juga melibatkan negeri-negeri yang berbeza supaya perkara itu dapat diselaraskan," katanya dalam sidang media selepas majlis Temurapat petani di perkarangan Surau Pak Kassim di Tanjung Piandang dekat sini pada Ahad.

Sementara itu, isu NGO Islam yang menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) Mujahid berkata beliau sudah berjumpa dengan 10 NGO Islam baru-baru ini dan mendengar pendapat dan pandangan mereka,

Katanya, ada beberapa perkara yang perlu ditegaskan, pertamanya ia tidak akan menjejaskan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam, Agama, Hak keistimewaan Bumiputera, Kuasa Raja-Raja Melayu dan Hak Negeri untuk mentadbir Islam.

"Kedua ialah jika atau kalau perjanjian itu ditandatangani, ia belum menjadi undang-undang kerana ianya akan dibentangkan di Parlimen dan jika ianya boleh diterima dan boleh ditolak jika ada undang-undang yang hendak digubal bersesuaian dengan piawaian yang ditetapkan.

Katanya ketiga, ICERD itu sendiri tidak menyebut kita perlu korbankan diskriminasi yang wujud dalam konteks positif diskriminasi iaitu pembelaan kepada kaum yang ditindas, malah jika kaum yang ditindas itu tidak dibela, itu merupakan satu diskriminasi.

-- BERNAMA