Kerajaan bercadang untuk menubuhkan platform pertukaran data yang terbuka, bagi membolehkan data disalurkan terus kepada kerajaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, melalui penubuhan platform itu, ia juga akan menggalakkan industri yang berkaitan untuk berkongsi data yang mereka peroleh kepada awam.

“Kita mahu wujudkan keadaan di mana kita boleh adakan akses kepada maklumat dan (penubuhan platform) ini satu perkara yang dalam pertimbangan kita. Memang itu satu cadangan yang saya akan bawa ke Kabinet.

"Satu mekanisme yang mana kita boleh mempromosi suasana digital yang terbuka, dan ia merupakan sesuatu yang telahpun diamalkan di negara-negara lain,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama beliau di forum Digital Transformation Asia di sini, hari ini.

Dalam ucaptamanya, Gobind berkata, inisiatif itu akan diwujudkan dengan kerjasama antara kementerian beliau sendiri, dengan Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP)

Mengulas lanjut, Gobind berkata, walaupun platform itu akan berkonsepkan persekitaran terbuka, kementerian akan sentiasa menitikberatkan keselamatan data peribadi.

Mengenai tempoh masa yang ditetapkan, beliau berkata, kementerian bercadang untuk membawa kertas kerja ke cabinet dalam masa tiga hingga enam bulan dari sekarang.

“Saya bercadang untuk membawanya ke cabinet pada pertengahan pertama tahun hadapan. Buat masa kini kami sedang merangka struktur platform berkenaan dan bagaimana mahu melaksanakannya. Dan sudah tentu jika Kabinet meluluskan cadangan ini, kami harus memulakan kerja secepat mungkin,” jelasnya lagi.