Kerajaan berjaya mencapai sasaran membina sejuta rumah mampu milik di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, daripada jumlah itu, 139,338 unit rumah atau 12.5 peratus telah siap sepenuhnya.

"311,281 unit rumah atau 28 peratus dalam pelbagai peringkat pembinaan dan bakinya adalah dalam peringkat perancangan dan pra-kelulusan iaitu maknanya dalam proses rundingan dan sebagainya. Maknanya, komitmen kerajaan untuk membina sejuta rumah telah dapat kita perolehi," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat Ekspo Jualan Perumahan Edisi Nasional anjuran Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ekspo Jualan Perumahan Edisi Nasional itu bermula hari ini dan berakhir pada 1 April depan.

Setakat ini, katanya, 267,640 unit rumah PR1MA telah diluluskan untuk dilaksanakan.

Ia selaras dengan komitmen PR1MA untuk membina 500,000 rumah untuk rakyat.

"PR1MA Jalan Jubli, Bukit Bintang adalah antara projek perumahan PR1MA yang paling laris selepas 42 peratus daripada 542 unit telah ditempah dalam masa hanya tiga hari sahaja," tambahnya.

Selain itu, 141,774 unit Projek Perumahan Awam 1 Malaysia (PPA1M) telah berjaya disiapkan dan dijangka mencapai sasaran 200,000 unit tidak lama lagi.