MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menegaskan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak perlu dikembalikan, manakala akta lain yang menggantikannya tidak akan dimansuhkan.

Menurut Muhyiddin, kerajaan Pakatan Harapan tidak berhasrat membawa kembali ISA yang sudah dimansuhkan sejak 2012 selain akan mengekalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) serta Akta Pencegahan Keganasan (POTA) bagi menjaga keselamatan negara.

Beliau turut mengulangi pendirian kerajaan mahu mengekalkan undang-undang berkenaan berdasarkan cadangan jawatankuasa mengkaji mengenai undang-undang itu.

Katanya, dipersetujui pengekalan undang-undang berkenaan dengan beberapa pindaan yang akan dibuat.

Kenyataan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia menarik perhatian Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan.

Berikut kenyataan penuh Syahredzan Johan:

Saya merujuk kepada ucapan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan mengekalkan dua undang-undang yakni Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (“SOSMA”) dan Akta Pencegahan Jenayah (“POCA”), dengan pindaan-pindaan.

Mengenai SOSMA, ia mengandungi peruntukan-peruntukan drakonian yang bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip keadilan. Oleh itu, apa-apa pindaan yang dibuat mestilah mengeluarkan peruntukan-peruntukan tersebut.

Antara peruntukkan drakonian dalam undang-undang tersebut adalah kuasa pihak polis untuk menahan seorang suspek selama 28 hari tanpa perlu mendapat apa-apa perintah tahanan reman daripada mahkamah.

Dalam tempoh tahanan ini, suspek tidak diberi akses kepada peguam dan selalunya dikenakan tekanan untuk membuat pengakuan salah. Sekiranya pindaan dibuat, penahanan 28 hari ini boleh dikekalkan, tetapi dengan memastikan bahawa penahanan itu diperintahkan oleh mahkamah dan bukannya melalui kuasa pihak polis.

Selain daripada kuasa menahan ini, SOSMA juga mempunyai peruntukan-peruntukan yang bertentangan dengan kaedah-kaedah pembuktian (rules of evidence), yang telah menjadi tunggak sistem keadilan jenayah untuk sekian lama. Sekiranya pindaan dibuat, peruntukan-peruntukan ini mestilah dikeluarkan supaya perbicaraan seseorang tahanan SOSMA boleh dijalankan dengan adil.

Walaupun ianya tidak mustahil untuk meminda SOSMA dengan mengeluarkan aspek-aspek yang bermasalah, namun ia memerlukan suatu rombakan yang meluas.

Adalah lebih mudah dan cermat sekiranya pihak kerajaan memansuhkan sahaja akta tersebut dan menggantikannya dengan akta yang dapat mengimbangi kebebasan asasi dan juga keperluan untuk melawan ancaman-ancaman terhadap keselamatan negara.

Berkenaan dengan POCA pula, berbeza dengan SOSMA di mana seseorang tahanan harus dibicarakan di Mahkamah.

POCA membenarkan tahanan tanpa bicara. Undang-undang seperti ini adalah bertentangan dengan kedaulatan undang-undang (rule of law) dan tidak mempunyai tempat di dalam sesebuah negara demokratik seperti Malaysia. POCA adalah undang-undang yang membayangi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikritik hebat sebelum ini.

Tidak ada pindaan yang boleh dibuat untuk ‘menyelamatkan’ POCA daripada menjadi sebuah undang-undang yang zalim dan menekan.

Di samping itu, POCA juga tidak diperlukan kerana adalah jelas bahawa pihak berkuasa mempunyai kepakaran dan sumber yang mencukupi untuk menyiasat kesalahan-kesalahan berkenaan dengan ketenteraman awam dan membawa mereka yang melakukan kesalahan ke muka pengadilan di Mahkamah.

Kerajaan diingatkan tentang janji mereka sebelum ini untuk menyemak semula segala undang-undang drakonian dan represif dan saya menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan keputusan untuk mengekalkan SOSMA dan POCA.

Syahredzan Johan merupakan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri.