Kerajaan disaran agar mewujudkan geran padanan khas untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melabur dalam latihan dan pembangunan pekerja mereka.

Berkongsi harapannya untuk Bajet 2017, Datuk William Ng turut mencadangkan geran padanan tambahan dua peratus ke atas akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kakitangan PKS bagi menggalakkan bakat tempatan berkhidmat dengan syarikat kecil dan sederhana.

"Berbeza dengan kepercayaan ramai, PKS bukan sahaja memerlukan bantuan kewangan tetapi juga bagi menangani isu-isu kritikal seperti kekurangan bakat kerja dan pasaran yang kian berubah," kata penerbit Business Media International merangkap Ketua Pengarang SME Magazine itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bajet 2017 akan dibentangkan di Parlimen pada 21 Oktober ini.

Mengulas lanjut, Ng berkata, selain berdepan masalah pembekuan pengambilan pekerja asing, PKS juga gagal menarik siswazah tempatan yang sebaliknya lebih berminat untuk bekerja dengan syarikat-syarikat besar dan multinasional.

"Ini mengehadkan pertumbuhan PKS dan ia berlaku ketika kos terus meningkat dan margin mengecil," katanya.

Menurutnya, keadaan diburukkan lagi dengan senario peralihan pasaran yang menyaksikan limpahan teknologi dan aplikasi baharu yang menjejaskan modal perniagaan tradsional.

"Kebanyakan PKS kita belum bersedia mengatasi isu itu dan berdepan pula liberalisasi pasaran dan persaingan serantau yang kian mencabar.

"Jika PKS tidak menerima sebarang bantuan, tidak hairanlah jika setiap satu daripada lima PKS akan menutup perniagaan mereka dalam tempoh setahun akan datang," tegasnya.

Selain itu, Ng juga berharap kerajaan akan mengurangkan cukai pendapatan korporat dalam Bajet 2017 ini dengan mengambil kira peningkatan kos serta margin perolehan PKS yang rendah. -Bernama