Kerajaan Filipina sedang meneliti tindakan membakar bendera Malaysia di republik itu yang tular di media sosial.

Kedutaan Filipina di Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihak berkuasa negara itu sedang menangani tindakan itu sewajarnya.

"Kedutaan tidak akan membiarkan insiden ini berlaku dan kami amat kecewa apabila kejadian ini telah mengecewakan rakyat Malaysia.

"Kedutaan turut menegaskan bahawa kami komited dalam membangunkan hubungan dua negara yang baik antara Filipina dan malaysia," memetik kenyataan itu.

BACA: Bakar Jalur Gemilang: Malaysia kutuk tindakan Elly Pamatong, desak Filipina bertindak

Menurut kenyataan itu, kejadian membakar bendera tersebut dilakukan oleh individu persendirian yang telah melakukan pelbagai tindakan kontroversi pada masa lalu dan tindakan itu tidak mewakili kerajaan Filipina.

Dalam kedua-dua video yang berdurasi 19 minit 50 saat dan tiga minit 18 saat itu, Elly Pamatong yang mendakwa dirinya sebagai pengasas United States Allied Freedom Fighters of the East (USAFFE), mengeluarkan kenyataan-kenyataan anti Malaysia sebelum bertindak membakar bendera Malaysia.