Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini menumpukan pada penghasilan anak benih kelapa bagi memenuhi keperluan negara terhadap komoditi itu yang meningkat setiap tahun.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata penghasilan anak benih itu akan dilaksanakan menerusi peruntukan Bajet 2018 sebanyak RM6.5 bilion sebagai inisiatif sumber kekayaan baharu industri pertanian negara.

"Negara memerlukan kira-kira 700 juta biji kelapa setiap tahun dan untuk itu negara mengimport kira-kira 100 juta biji kelapa bagi kegunaan harian dan juga pihak industri. Justeri pilihan yang ada adalah dengan menghasilkan sendiri anak benih kelapa meskipun ia mengambil masa yang agak lama kerana prosesnya rumit dan memerlukan kepakaran," katanya.

Bagi penghasilan anak benih kelapa, kementerian dan agensi di bawahnya akan menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Felda dan Felcra, katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan oleh Felcra Bhd kepada 416 pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Bandi 1 dan 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bandi, di Dewan Orang Ramai Seri Bandi, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Bhd Zulkarnain Md Eusofe.

Ahmad Shabery berkata penghasilan anak benih kelapa dilakukan memandangkan kementerian tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada anak benih import bagi menjaga kualiti dan biokeselamatan tanaman di negara ini.

"Import anak benih ini ada risikonya kerana jika ada rekod penyakit serangga takut ia membahayakan tanaman lain seperti kelapa sedia ada dan kelapa sawit. Ia juga memerlukan masa enam bulan hingga setahun untuk dikuarantin sebelum ia disahkan selamat (untuk penanaman)," katanya.

Sementara itu, Zulkarnain berkata Felcra telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi untuk penanaman kelapa matag iaitu di Sabah dan Pahang serta Terengganu bagi penanaman kelapa dan jagung bijirin.

"Buat permulaan, kita kini dah bangunkan kawasan bagi penghasilan anak benih kelapa pandan di kawasan seluas 200 hektar di Seberang Perak, Perak dan dijangka anak benih itu dapat dihasilkan dalam masa empat hingga lima tahun akan datang," katanya.

-- BERNAMA