Kerajaan gantung sementara tindakan di bawah Akta Hasutan

Kerajaan gantung sementara tindakan di bawah Akta Hasutan
GOBIND SINGH: Oleh kerana akta tersebut akan dimansuhkan maka keputusan telah dibuat bahawa tindakan di bawah akta itu harus digantung buat sementara waktu. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kabinet memutuskan menggantung sementara tindakan di bawah Akta Hasutan 1948, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat mingguan Kabinet semalam.

“Oleh kerana akta tersebut akan dimansuhkan maka keputusan telah dibuat bahawa tindakan di bawah akta itu harus digantung buat sementara waktu.
“Keputusan Kabinet itu akan disampaikan kepada Peguam Negara dan terpulang kepada beliau untuk mengambil langkah susulan,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Keusahawanan e-Commerce di sini hari ini.

Kelmarin, Gobind Singh melalui Twitternya berkata beliau akan mengusulkan moratorium (penggantungan sementara) ke atas Akta Hasutan 1948 dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Baru-baru ini, menteri tersebut dipetik oleh portal berita sebagai berkata Peguam Negara sudah pun menyediakan perundangan yang sewajarnya untuk memansuhkan undang-undang tersebut.

Ia turut melaporkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) berada di landasan yang betul bagi memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan ia sepatutnya akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu, PH berikrar untuk menghapuskan úndang-undang yang meindas termasuklah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti Kolej Universiti 1971, Akta Penerbitan dan Media Cetak 1984, Akta Majlis Keselamatan Negara 2016  dan undang-undang yang mengenakan hukuman gantung sampai mati.