Kerajaan akan memastikan industri peranti perubatan tempatan tepati piawaian antarabangsa bagi menjaminkan kebolehpasaran industri itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sejak Akta Peranti Perubatan 2012 dilaksanakan pada tahun 2013, sebanyak 580,000 peranti perubatan telah didaftarkan di bawah Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Malaysia.

"Industri peranti perubatan sebuah industri yang berkembang pesat. Malaysia telah dikenal pasti sebagai pengeluar utama produk berasaskan getah seperti sarung tangan perubatan, kondom dan catheter.

"Malaysia memenuhi 80 peratus permintaan dunia untuk catheter dan 60 peratus untuk sarung tangan getah.

"Ini menunjukkan keseriusan dan kebolehpercayaan industri peranti perubatan Malaysia dalam persaingan pasaran global," katanya selepas melancarkan Ekspo Peranti Perubatan Malaysia 2018 (MYMEDEX 2018) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Selasa.


Selain sarung tangan getah dan catheter, Malaysia turut mengeluarkan peranti perubatan lain seperti picagari, jarum suntikan, instrumen pembedahan dan pergigian serta produk yang diperbuat daripada plastik, silikon dan aloi.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut berkata perbelanjaan industri penjagaan kesihatan di Malaysia dijangka mencecah kira-kira RM80 bilion menjelang 2020 berbanding RM52 bilion pada akhir tahun lepas.

Ini susulan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan serta kemunculan model penjagaan kesihatan baharu di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata pelaksanaan skim insurans kesihatan bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dalam Bajet 2019 masih dalam proses perbincangan dengan pihak berkepentingan.

Di MYMEDEX 2018, yang diadakan buat julung kalinya di Malaysia, terdapat lebih 100 reruai mempamerkan pelbagai teknologi inovatif serta perkembangan peranti perubatan yang bertaraf global.