Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli beri jaminan bahawa kenaikan tarif air secara berperingkat tahun ini tidak akan membebankan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Air Dan Pembentungan Dr Ching Thoo Kim berkata ini kerana kadar tarif air yang dikenakan adalah lebih rendah berbanding kos utiliti lain yang dibayar oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

“Tentang bagaimana tarif ini menjamin kumpulan B40 tidak terkesan, kalau kita lihat sekarang hampir 50 peratus pengguna hanya menggunakan 20 mililiter padu air.

“Apa yang dibuat oleh kementerian adalah memastikan (kenaikan tarif air) penggunaan jumlah ini tidak akan membebankan rakyat. Itu yang akan dipastikan 50 peratus tidak akan terbeban,” katanya ketika menjadi panel pada program debat di Astro AWANI, pada Ahad.


Terdahulu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengesahkan enam negeri telah bersetuju untuk menaikkan tarif air bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan kepada pengguna.

Katanya, perundingan untuk menaikkan tarif air giat dijalankan kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.

Mengulas lanjut, Dr Chin berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menggenakan kadar tarif air berbeza kepada kumpulan yang menggunakan lebihan air termasuk pengguna yang membazir.

“Kita juga mungkin boleh bersetuju bahawa mereka yang memakai air berlebihan sehingga 40 mililiter padu sebulan, cuaca hujan pun dia cuci kereta dan mereka ini perlu diletakkan harga yang lebih tinggi sedikit,” katanya sambil menjelaskan kenaikan tarif bertujuan untuk menampung beberapa kos yang tidak dapat dielakkan.


Selain itu katanya, kerjasama erat daripada kerajaan negeri perlu dalam memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terbeban dengan kenaikan tarif air.

Ini termasuklah cadangan untuk memberikan rebat atau potongan kepada pengguna dalam kumpulan B40, katanya.

“Kerajaan akan mengambil segala langkah yang perlu untuk memastikan kenaikan air kepada golongan B40 tidak membebankan dan ini kita akan lakukan dari segi (memberi) rebat yang tertentu dan kementerian juga ingin mengajak kerajaan negeri.

“Katakan kalau kenaikan (tarif air) adalah sebanyak 50 sen, boleh berikan rebat sebanyak 20 sen hingga 30 sen ataupun dalam bentuk lain kepada B40,” katanya.

Susulan itu, beliau berharap rakyat memahami sebab utama kerajaan melakukan penstukturan semula terhadap tarif air.