Tutup

Kerajaan jamin SOSMA dipinda dengan teliti - Mohamed Hanipa

Kerajaan jamin SOSMA dipinda dengan teliti - Mohamed Hanipa
Kerajaan mahu orang yang dituduh di bawah akta itu nanti. - Gambar hiasan
BALING: Kerajaan akan memastikan pindaan ke atas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dibuat dengan lebih teliti untuk memastikan undang-undang itu memberi kebaikan kepada negara dan rakyat keseluruhannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata kerajaan mahu orang yang dituduh di bawah akta itu nanti, diberikan keadilan sebaik mungkin namun pada masa sama tidak menggugat keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.
"SOSMA bukan kita buat, kerajaan BN (Barisan Nasional) terdahulu buat. Kita sekarang nak fikir penyelesaian terbaik supaya kedua-dua keadaan boleh kita jaga...keselamatan negara dijaga, hak orang dituduh (pun) mereka dilindungi, kita nak bela dengan seimbang.

"Kita mahu benda ini selesai dengan situasi menang-menang, yang mana kerajaan selamat, tahanan (di bawah SOSMA) pun selamat," katanya kepada pemberita selepas melawat ibu kepada enam anak, Nazihah Hamid, 38, sempena Program 'Unsung Hero' di Kampung Sungai Tembak dekat sini pada Selasa.
Nazihah yang berniaga kuih secara kecil-kecilan merupakan isteri kepada tahanan Sosma yang dihukum penjara tahun lepas atas kesalahan memiliki bahan berkaitan Daesh serta memberikan dana untuk aktiviti kumpulan militan itu.

Pada 24 Okt lepas, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sebagai berkata enam akta berkaitan keselamatan termasuk SOSMA dan hukuman mati akan dipinda yang dijangka dapat dibentangkan di Dewan Rakyat, sama ada akhir sesi Parlimen lepas atau tahun ini.

Muhyiddin berkata laporan tentang perkara itu sudah disiapkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Undang-undang Keselamatan dan ia sedang diteliti sebuah jawatankuasa teknikal di Jabatan Peguam Negara.

Mohamed Hanipa berkata secara peribadi beliau yang pernah menjadi peguam dan terlibat dengan isu hak asasi manusia selama 25 tahun, tidak bersetuju dengan akta berkenaan kerana dilihat melanggar hak asasi manusia.

Menurutnya, akta itu mengandungi peruntukan tidak sesuai dengan konsep keadilan antaranya seseorang individu boleh ditahan maksimum 28 hari serta bekas banduan dipasangkan sistem peranti pemantauan elektronik (EMD) selain polis boleh menangguhkan akses kepada keluarga dan peguam sehingga 48 jam selepas ditahan.

"Kita harap tahanan SOSMA tak kira apa pun, diberikan layanan yang adil...itu penting," katanya.

Mengenai program itu yang merupakan cetusan ideanya sendiri dan dimulakan sejak Julai tahun lepas, Mohamed Hanipa berkata beliau menganggap Nazihah sebagai 'Wira Tak Di Dendang' (unsung hero) dan ibu yang hebat kerana dapat membesarkan enam anak tanpa suami di sisi.

"Saya memilih untuk datang ke sini selepas saya dapat tahu kisah puan ini suaminya ditahan dan sara enam anak dalam keadaan suami tak ada. (Bagi saya) beliau (Nazihah) orang yang hebat," katanya.

-- BERNAMA