Kementerian Alam Sekitar dan Air memberikan jaminan tidak akan menaikkan tarif air dalam situasi rakyat terbeban dengan keadaan ekonomi dan situasi pandemik COVID-19 yang belum berakhir.

Sebaliknya, Menterinya, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,
kerajaan akan menanggung kos itu bagi memastikan rakyat terus selesa berdepan situasi kritikal ketika ini.

"Ingin saya tegaskan, dalam situasi rakyat berdepan dengan bebanan ekonomi yag teruk dan pandemik yang belum selesai dengan tekanan hidup yang belum selesai, saya ingin beri jaminan kerajaan tidak akan menaikkan tarif air dalam situasi rakyat masih terbeban ini.

"Kerajaan akan menanggung kos situasi susah sebagai kerajaan prihatin dengan tawaran pelbagai yang diberi, kita jamin rakyat tidak perlu risau dalam situasi kritikal ini," Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) mengenai sama ada kerajaan dapat menjamin tarif air di Lembah Klang itu tidak naik selepas menyerahkan Loji Rawatan Air Langat 2, kepada Pengurusan Air Selangor.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata sebarang semakan tarif air seluruh negara akan mengambil kira keterlibatan pelbagai pihak dalam pengurusan air dan peranan Suruhanjaya Bekalan Air Negara sebagai badan kawal selia bekalan air yang akan membuat rundingan dengan semua pihak terlibat.

Dalam pada itu, sebagai menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) mengenai adakah tarif air yang dikenakan kepada rakyat ketika ini membebankan, Tuan Ibrahim berkata, rakyat membayar peratusan rendah untuk bil air berbanding keperluan asas yang lain pada ketika ini.

"Apa yang jelas, kita harus akui tarif di negara kita rendah berbanding keperluan hidup yang lain.

"Ketika ini, tarif bil air yang dibayar oleh pengguna untuk sebulan hanya lima peratus berbanding elektrik 34 peratus, komunikasi 17 peratus, saluran TV berbayar 13 peratus dan Internet 28 peratus," katanya.