Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited dalam usahanya menyelesaikan isu pemilikan tanah dan rumah mampu milik rakyat di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata komitmen itu dapat dilihat menerusi kejayaan kerajaan negeri menyelesaikan beberapa kes penukaran hak milik tanah serta pemilikan rumah mampu milik di kawasan setinggan.

"Seperti di Kampung Melayu Pandan, Kempas dan beberapa kawasan lagi di sini, kita berjaya membantu penukaran hak milik tanah dengan melakukan pengambilalihan tanah dari sektor swasta.

"Di kawasan Desa Perwira pula, kerajaan negeri melakukan pengambilalihan tanah yang mana memungkinkan 100 penduduk akan menerima hak milik tanah dan menempatkan 1,000 rumah mampu milik untuk ditawarkan kepada penduduk setinggan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada merasmikan Program Latihan dan Khidmat Masyarakat di Surau Al-Falah Desa Perwira di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) Kementerian Kerja Raya Zuree Zubir.Mohamed Khaled memberitahu pengambilalihan tanah di Desa Perwira melalui Johor Corporation (J-Corp) membabitkan lebih RM320 juta.

"Kita akan meneruskan ke kawasan lain juga dan ini merupakan usaha kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat di mana dalam pembangunan di negeri Johor setiap rakyat memiliki rumah atau tanah," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada BPKU Johor kerana menjalankan tanggungjawab sosial dengan menjalankan kerja-kerja menurap semula dataran di kawasan Desa Perwira (Dataran Kejat) dan menyelenggara kerosakan di surau.

Program Latihan dan Khidmat Masyarakat di Surau Al-Falah Desa Perwira terbabit melibatkan 40 peserta terdiri dari kontraktor bumiputera Johor dan aktiviti khidmat sosial berkenaan merupakan aktiviti tahunan anjuran BPKU.--BERNAMA