Kerajaan negeri akan melaksanakan siasatan dan membuat penyelarasan terhadap pusat-pusat tahfiz di Johor bagi memastikan kesemuanya beroperasi mengikut peraturan dan undang-undang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri Aminolhuda Hassan berkata tindakan yang bakal diambil itu adalah selaras dengan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang mahu kesemua pusat tahfiz yang beroperasi di Johor mendapat sijil pengiktirafan sebelum memulakan operasi.

"Kerajaan negeri menjunjung kasih atas titah Tuanku dan akan mengambil tindakan segera untuk menutup mana-mana tahfiz yang tidak memiliki lesen untuk beroperasi.

"Kerajaan negeri dengan kerjasama daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) khususnya Jabatan Agama Islam (Bahagian Pendidikan Agama) akan menyiasat dan menyemak semula pusat tahfiz yang mempunyai masalah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Kebangsaan (PPIPK) 2018 di Kampus Temenggong Ibrahim di sini, pada Khamis.

Aminolhuda berkata kerajaan negeri juga akan mengkaji semula dan memperhalusi syarat dan peraturan penubuhan pusat-pusat tahfiz yang baharu bagi memastikan setiap pembinaan pusat berkenaan berada dalam keadaan teratur dan selari dengan undang-undang.

"Kita mahu memastikan pembinaan pusat-pusat tahfiz ini mendapat kebenaran daripada MAINJ kerana sehingga hari ini kita tidak mempunyai jumlah yang tepat berkaitan bilangan sebenar pusat tahfiz yang beroperasi di dalam negeri kita.

"Ini kerana ada sebilangan pusat-pusat ini tidak membuat pendaftaran awal. Jadi bila tidak didaftarkan ia akan menjadi satu masalah kepada kita mengesan di mana mereka ini beroperasi," katanya.

Aminolhuda berkata, langkah jangka pendek yang telah diambil ketika ini adalah mengarahkan semua pejabat jabatan agama di seluruh daerah mencari dan mengenal pasti setiap pusat-pusat tahfiz yang ada di kawasan mereka dalam tempoh sebulan ini sebelum tindakan lanjut diambil.

"Saya juga menyeru kepada orang ramai untuk melaporkan kepada MAINJ sekiranya mendapati ada pihak yang cuba mengutip derma untuk sekolah-sekolah agama atau pusat-pusat tahfiz.

"Ini kerana setiap kutipan sumbangan perlu mendapat kelulusan dan kebenaran daripada MAINJ terlebih dahulu, dan mana-mana sekolah agama atau pusat tahfiz yang mengutip derma perlu memiliki sijil kebenaran yang asli daripada pejabat agama dan bukannya salinan sijil, kerana terdapat banyak kes penipuan menggunakan sijil palsu dan diubahsuai," katanya.

Katanya, jika perlu menggunakan salinan, ia perlu mendapat pengesahan daripada kadi daerah masing-masing.

Pada Khamis, Sultan Ibrahim bertitah agar kerajaan negeri memantau pusat-pusat tahfiz dalam negeri itu serta memastikan pusat-pusat itu mendapat sijil pengiktirafan serta mematuhi undang-undang sewaktu beroperasi. -- Bernama