Kerajaan negeri akan lebih menumpukan usaha untuk meningkatkan bilangan pelancong asing yang mempunyai akses terus ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata ini kerana Johor tidak mahu lagi bergantung sepenuhnya kepada pelancong Singapura.

"Memang sekarang ini tidak dapat dinafikan bahawa jumlah pelancong Singapura adalah yang paling ramai memasuki Johor iaitu melebihi 50 peratus namun kita tidak boleh terus berharap kepada mereka.

"Kita juga mahukan pelancong dari negara lain datang ke negeri ini dan antara negara yang sudah mempunyai akses terus ke Lapangan Antarabangsa Terbang Senai melalui pengangkutan udara ialah Thailand, Vietnam, Indonesia dan China," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kraf dan Pelancongan Labis 2019 di Dataran Labis, pada Sabtu.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Tenang Mohd Solihan Badri.

Liow berkata tahun lepas, Johor mencatatkan kedatangan pelancong asing kira-kira 15 juta orang dan angka itu diharap bertambah tahun ini.

Sementara itu, mengenai litar permotoran yang dirancang dibina di Jalan Segamat, berhampiran Bukit Mambai di sini, beliau berkata pihaknya sedia mempromosikannya.

Beliau berkata buat masa ini, pembinaan litar seluas 18 ekar (7.3 hektar) masih menunggu kelulusan dan peruntukan daripada kerajaan negeri.

-- BERNAMA