Kerajaan negeri Johor masih menunggu keputusan kerajaan pusat berhubung pembinaan projek Sistem Transit Aliran (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata sehingga kini pihaknya masih belum dimaklumkan sebarang keputusan berkaitan RTS sama ada ia akan diteruskan atau sebaliknya.

"Sampai ke saat ini saya masih belum dimaklumkan lagi, tetapi apa pun, apa sahaja berkaitan dengan RTS, kita akan tunggu daripada kerajaan pusat," katanya yang ditemui pemberita selepas merasmikan Ekspo Tani Johor dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Johor 2019, di Dataran Penggaram, di sini, hari ini.

Dr Sahruddin berkata demikian sebagai mengulas mengenai tempoh lanjutan yang diminta Malaysia untuk keputusan terhadap projek yang akan menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura.

Menurut laporan sebuah akhbar Inggeris tempatan, difahamkan, Malaysia mengemukakan permohonan lanjutan itu semasa perjumpaan antara Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke dengan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan baru-baru ini.

-- BERNAMA