Tutup

Kerajaan Johor tunggu keputusan sampel darah

Kerajaan Johor tunggu keputusan sampel darah
DR SAHRUDDIN: Keputusan sampel darah itu dijangka akan diperolehi pada Isnin. - BERNAMA/Fail
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor sedang menunggu keputusan sampel darah pelajar-pelajar yang terjejas akibat insiden pencemaran udara di Pasir Gudang bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata keputusan sampel darah itu dijangka akan diperolehi esok (Isnin).

"Kita perlukan keputusan dari ujian sampel darah pelajar-pelajar terbabit untuk mengetahui apa punca mereka tiba-tiba mengalami gejala mual, muntah dan pengsan.

"Jika insiden sebelum ini, kita dapat tahu punca (simptom) dari Sungai Kim Kim. Kejadian terbaru ini, kita masih sedang siasat," katanya pada sidang media selepas Majlis Topping Off Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru di sini, pada Ahad.

Jelas Dr Sahruddin, pihaknya akan mengadakan perbincangan untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji semula kedudukan kawasan industri dan perumahan yang terlalu berdekatan di Pasir Gudang.

Ini bagi mengelakkan kejadian terbaru dan juga insiden Sungai Kim Kim berlaku lagi.
Setakat ini, kesemua pelajar yang ditempatkan di wad Hospital Sultan Ismail (HSI) telah dibenarkan keluar.

Khamis lalu, 15 pelajar Sekolah Agama Taman Mawar termasuk dua dewasa dikejarkan ke HSI selepas mengalami simptom muntah dan sesak nafas.

Pada Sabtu, Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar memberitahu, tiga sekolah dan dua tadika serta tabika ditutup sekitar Taman Mawar, Pasir Gudang pada hari ini dan esok.





Tag: pasir gudang, kerajaan negeri johor, Sahruddin Jamal, mb johor, sesak nafas, sungai kim kim



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.