Menjelang pembentangan Belanjawan 2019, satu kajian semula akan dijalankan berhubung kenaikan gaji penjawat awam.

Kajian semula itu dibuat dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara ketika ini.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, kajian semula perlu dibuat terlebih dahulu , untuk menentukan sama ada kenaikan gaji dijanjikan kerajaan terdahulu perlu diteruskan atau sebaliknya.

“Perkara ini masih dalam kajian lagi dan kita mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan sama ada perkara itu perlu diteruskan ataupun tidak, setelah mengambil kira kedudukan kewangan.

"Saya tengok balik perkara ini dan akan pihak yang boleh buat keputusan mengenai perkara ini tak boleh nak komen tapi kita rasa perkara ini perlu dikaji semula,” katanya ketika ditemui media selepas Sesi Bual Bicara Bersama Penjawat-Penjawat Awam Negeri Johor di sini hari ini.

Pada April lepas, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke 16, mengumumkan kenaikan satu gaji tahunan untuk 1.6 juta penjawat awam berkuatkuasa satu Julai lepas.

Pemberian kenaikan gaji itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan serta penat lelah penjawat awam sebagai kawan setia kerajaan dan kenaikan tersebut melibatkan jumlah kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

Pemberian itu bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi kenaikan gaji tahunan di samping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018.