Kerajaan akan mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada berhubung proses pemberian kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kajian semula itu bertujuan mempercepatkan proses permohonan, tertakluk kepada undang-undang sedia ada dan Perlembagaan Persekutuan.

"Untuk mempercepatkan di mana ia boleh dilaksanakan, jadi pihak yang berkenaan tidak perlu menunggu terlalu lama, itulah yang kami cuba lakukan (kajian semula)... ia akan berteraskan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini pada Isnin.

Beliau diminta mengulas mengenai langkah kementerian untuk mengatasi masalah berkaitan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan rakyat Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri.

Muhyiddin berkata tidak semua kes sama dan kementerian perlu mengkaji setiap kes sebelum membuat sebarang keputusan.

-- BERNAMA