Kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan warga asing memasuki negara ini, tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu berkata, arahan itu turut terpakai bagi atlet warga asing yang akan menyertai sebarang pertandingan di negara ini.

“Saya kira, negara Jepun yang sepatutnya mengadakan sukan Olimpik pun menangguhkan sukan Olimpik mereka. Jadi dari segi keperluan ini, Jepun begitu tegas.

“Kita sama seperti Jepun, masih lagi tegas, masih lagi tidak membenarkan kemasukan warga asing ke negara kita walaupun ia melibatkan kejohanan kerana ia mungkin akan melibatkan peserta negara lain.

“Setakat hari ini, polisi kita kekal iaitu tutup pintu sempadan kepada rakyat kita yang hendak keluar dan menutup pintu kepada warga asing yang nak masuk ke negara kita,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Beliau pada masa sama memaklumkan belum menerima sebarang permohonan kemasukan atlet warga asing melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS).