Mendapatkan semula aset 1MDB secara berkesan tetap menjadi keutamaan bagi kerajaan Malaysia, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata dalam usaha menzahirkan objektif tersebut, kerajaan telah mengambil tindakan proaktif merentasi pelbagai negara dan organisasi.

Jelasnya lagi, melalui usaha yang diketuai oleh Jabatan Peguam Negara, Kerajaan juga sedang mengadakan perbincangan dan rundingan dengan pelbagai organisasi antarabangsa, termasuk Goldman Sachs Group Inc.

“Minggu ini, perwakilan kanan dari Goldman Sachs Group Inc telah hadir ke Malaysia untuk meneruskan perbincangan dan rundingan dengan Kerajaan.

“Kerajaan berharap perbincangan ini akan membuahkan hasil dan membolehkan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenai pemulangan aset 1MDB kepada Malaysia,” katanya lagi.

Tengku Zafrul berkata apa yang lebih penting adalah komitmen penuh Kerajaan untuk memastikan pemulangan aset 1MDB kepada Malaysia.

Katanya lagi, kerajaan berusaha mengambil pelbagai tindakan dan langkah untuk memastikan nilai pemulihan yang adil dan wajar bagi rakyat Malaysia.

Pada April lepas, perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) sudah memulangkan sejumlah AS$300 juta lagi dana daripada 1MDB kepada Malaysia.

Beliau berkata, jumlah itu adalah dana diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB melalui Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DoJ) AS.

Dengan pemulangan dana AS$300 juta itu, Muhyiddin berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan dana yang sudah dipulangkan kepada kerajaan membabitkan nilai AS$620 juta.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi di sini pada 16 Julai lepas membenarkan permohonan kerajaan untuk menyekat sementara PetroSaudi International Ltd (PSI) dan Pengarahnya Tarek Obaid daripada memindahkan dana berjumlah lebih AS$340 juta yang dikaitkan dengan 1MDB yang disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom (UK).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata mahkamah mempunyai kuasa untuk membenarkan perintah pemeliharaan sementara yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

BACA: 1MDB: Kerajaan dibenar sekat sementara Petrosaudi daripada guna US$340 juta

BACA: AS percepatkan pemindahan dana 1MDB - Duta