Kerajaan komited menghapuskan kemiskinan dalam kalangan masyarakat India termasuk menangani isu keciciran pendidikan khususnya di peringkat sekolah menengah dalam usaha memajukan komuniti itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam usaha mencapai matlamat itu, kerajaan perlu mengekang mereka daripada terjebak dengan gangsterisme.

"Dalam perbincangan yang diadakan sebelum ini, kita mahu masyarakat India di negara ini mempunyai pekerjaan sekali gus mengelak daripada aktiviti gangsterisme.

"Tidak ada bangsa yang mahu menjadi gangster. Selagi saya menjadi Menteri Dalam Negeri, saya akan bekerja keras membanteras gangster kerana kita mahu negara ini aman," katanya ketika berucap melancarkan program Ethirkalam 'Victory for the Future' di Dewan Sanmarka Orang India, Hutan Melintang di sini, hari ini.

Menurutnya kerajaan, pemimpin masyarakat India dan badan bukan kerajaan (NGO) juga mempunyai pelbagai rancangan untuk menjaga kelangsungan status sosial dan kebajikan komuniti India di negara ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta parti politik dan NGO yang mewakili masyarakat India di negara bersatu supaya hak dan kebajikan kaum itu terus dibela.

"Ketepikanlah sebarang perbezaan politik, agama, budaya, bangsa tidak kiralah Telegu, Tamil, Malayalam ataupun Punjabi...bersatu padulah dalam kehidupan dan harus mengetepikan semua perbezaan.

"Kita berada di bumi Malaysia, keturunan itu penting tetapi yang lebih penting, kita adalah rakyat Malaysia yang taat setia di mana bumi berpijak di situ langit dijunjung," katanya.

Ahmad Zahid berkata masyarakat India amat beruntung kerana kebajikan mereka sentiasa menjadi keutamaan kerajaan termasuklah dalam Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Menerusi bajet itu, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

"Malah, Perdana Menteri turut memberikan peruntukan yang lebih besar untuk pinjaman mikrokredit dan saya harap masyarakat India yang ada bakat menjadi usahawan, gunakan ini untuk majukan diri dan keluarga," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan bantuan RM100,000 kepada Pusat Sri Murugan bagi melaksanakan aktiviti di SJKT Barathi dan SJKT Tun Sambathan bagi tempoh dua tahun mulai tahun ini.