Datuk Seri Najib Tun Razak berkata walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menerima pelbagai kritikan, namun kerajaan sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaannya tidak membebankan rakyat.

Perdana Menteri berkata semua pihak harus sedar bahawa objektif utama pelaksanaan GST ialah untuk mengukuhkan punca kewangan negara, dan akhirnya dapat memastikan pembangunan yang lebih efektif untuk kemajuan negara dan kebaikan rakyat.

"Tujuan sebenar kita laksanakan GST, bukan untuk bebankan rakyat. Kita laksanakan GST dengan kaedah meminimumkan beban rakyat. Tak pernah mana-mana negara bagi banyak 'zero-rated' dan pengecualian GST seperti mana yang kita berikan.

"Ini menunjukkan kerajaan benar-benar berhasrat untuk tidak membebankan rakyat, dan GST kita akan laksanakan dengan kaedah tidak menyusahkan rakyat, dan di samping itu menambahkan hasil negara dan ini adalah untuk kebaikan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kastam di Dewan Serbaguna Jabatan Kastam Diraja Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Selain itu, dari segi makronya, Najib berharap agar pengukuhan punca kewangan negara melalui sistem pencukaian ini dapat membantu meningkatkan 'rating' yang lebih positif, serta meningkatkan keyakinan dunia tentang cara Malaysia menguruskan ekonomi.

Perdana Menteri turut meminta warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia bersama-sama menjadikan pelaksanaan CBP pada 1 April ini sebagai pembaharuan cukai yang paling cemerlang dalam sejarah.

Mengakui tugas berat yang bakal digalas warga Kastam terutamanya dalam menangani persepsi masyarakat, Najib berkata kerajaan akan terus bersama-sama dengan Kastam bagi memastikan ia berjalan lancar.

"Warga Kastam sebagai barisan hadapan sememangnya menggalas tanggungjawab yang besar, dan saya nak nyatakan, kami di sini, untuk membantu Kastam Diraja melaksanakan tanggungjawab.

"Kastam, kami bersama-sama anda, kita akan berjalan bersama-sama, melaksanakan GST...Ini akan menjadi pembaharuan cukai paling cemerlang dalam sejarah kita, dan jadikan ia satu kejayaan," katanya.

Terdahulu, Najib, yang juga Menteri Kewangan, melancarkan set panduan CBP bagi meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap sistem percukaian itu, di samping meninjau persiapan warga Kastam menjelang tarikh pelaksanaan sistem itu pada 1 April ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah; Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan serta pegawai-pegawai kanan Kastam.