Kerajaan komited dalam merealisasikan satu peratus pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada orang kelainan upaya (OKU).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata sehingga 30 Jun 2019, jumlah pengisian OKU dalam perkhidmatan awam adalah seramai 3,686 pegawai bersamaan 0.29 peratus.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sentiasa menjadikan sasaran satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU seperti yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2010 sebagai asas dalam semua urusan pengambilan.

“Sungguhpun demikian, pencapaian sasaran ini banyak bergantung kepada kesediaan kementerian dan jabatan yang menerima penempatan calon OKU,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu) yang ingin tahu statistik semasa pengambilan peratus pekerja OKU dalam sektor awam dan langkah menggalakkan lagi penyertaan golongan itu dalam sektor awam.

Tambah Mohamed Hanipa, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjadi kementerian yang dianggotai paling ramai OKU.

Sementara itu, katanya statistik urusan pengambilan di bawah SPA menunjukkan bahawa sehingga Jun 2019, sejumlah 44 orang atau 0.49 peratus calon OKU dilantik ke perkhidmatan awam daripada sejumlah 8,924 calon lantikan tetap.

Sementara pda 2018, daripada 12,454 pelantikan tetap, SPA telah melantik seramai 114 atau 0.85 peratus calon OKU ke perkhidmatan awam.