Kerajaan akan berusaha menyelesaikan masalah penempatan di Bukit Malut, Langkawi, sekali gus menangani masalah sosial di situ termasuk penyalahgunaan dadah.

Menurut perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau mahu kesemua penduduk Bukit Malut ditempatkan di kawasan perumahan yang lebih terancang dan sempurna.

Jelasnya, ketika ini permandangan di Pulau Langkawi menjadi tidak elok memandangkan penempatan setinggan di kawasan terbabit terlalu padat dan dilihat tidak tersusun.

"Kita akan buat perancangan untuk menempatkan mereka dalam rumah yang lebih sempurna. '

"Semalam timbalan perdana menteri pun telah beri kenyataan dan kita akan susun dengan mengadakan satu pelan, atur supaya mereka tinggal dalam rumah yang lebih teratur.

"Yalah, kalau kita betulkan rumah, kita selesaikan masalah sosial... sekarang ni, kita nak masuk rumah pun susah."

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Langkawi di Kompleks Sukan LADA pada Sabtu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi itu menyatakan bahawa timbalan perdana menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut memandang serius perkara ini.

Ia dibuktikan selepas satu kenyataan dikeluarkan berhubung pelan menjadikan kawasan penempatan Bukit Malut lebih teratur dan tersusun.

Lokasi penempatan Bukit Malut terletak 20 kilometer dari Pekan Kuah di mana kawasan terbabit dipercayai menjadi antara lubuk penyalahgunaan dadah di pulau peranginan berkenaan.

Perkara itu dinyatakan ketua polis negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam satu temu bual eksklusif bersama Mingguan Malaysia pada 23 Jun lalu.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut menyatakan kebimbangan Langkawi mungkin menjadi pusat atau 'gedung dadah' jika lambakan bahan larangan itu tidak dibanteras segera.