Kerajaan luluskan peruntukan RM 1.77 juta untuk proses pengurusan bencana seluruh negara bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula dan dijangka berlarutan sehingga Mac tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata 5,488 pusat pemindahan sementara yang boleh menampung 1.65 juta mangsa juga disediakan untuk menghadapi MTL.

"Berdasarkan kajian Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), MTL kali ini dijangkakan akan berlaku empat hingga enam siri hujan lebat berserta air pasang besar.

"Ia akan bermula pada Bulan November di Kelantan dan utara Terengganu, Disember di Selatan Terengganu, Pahang dan Johor serta Januari di Sarawak dan Sabah."

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat (JKTPBP) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu juga menyeru kesemua agensi keselamatan negara perlu pandang serius tahap kesiapsiagaan anggota dan aset-aset untuk digerakkan.

"Cuti di kalangan anggota agensi dan penyelamat akan dibekukan sehingga Disember terlebih dahulu bagi menghadapi MTL," jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pandan itu juga menyatakan hujan lebat yang berterusan ketika MTL boleh menyebabkan banjir, tanah runtuh, hakisan tanah, hakisan pantai dan bencana yang lain.

Beliau turut menyarankan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, agensi dan jabatan untuk meningkatkan penguatkuasaan dan mengawal kegiatan pembalakan secara haram dan berlesen bagi mengurangkan hakisan sungai yang seterusnya menyebabkan banjir.

"Rakyat juga perlu mendengar arahan dari pihak berkuasa dan keselamatan, agar berpindah lebih awal untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut menyatakan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 ribu kepada Sarawak bagi mengurus dan mengekang wabak rabies di negeri itu yang sehingga kini menyebabkan 12 kematian.