Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk beberapa inisiatif khusus bagi pembangunan pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sektor berkenaan akan diberi nafas baharu melalui beberapa langkah tertentu antaranya membangunkan infrastruktur moden supaya penoreh dapat menghasilkan lateks berbanding getah beku 'cuplumps'.

"Peruntukan ini tidak termasuk bantuan musim tengkujuh... ini untuk pembangunan sektor pekebun kecil dan penoreh sahaja untuk beri pendapatan lebih kepada mereka," katanya pada program pemimpin bersama rakyat dan penyerahan bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil dan penoreh getah di Dataran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong serta pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional negeri.

Najib berkata langkah lain adalah memperkenalkan klon getah baharu dikenali sebagai Klon 1Malaysia yang mampu menghasilkan produktiviti getah lebih tinggi berbanding benih biasa.

"Fokus seterusnya adalah untuk melihat bagaimana kaedah menoreh itu boleh dilakukan pembaharuan dengan suntikan teknologi baharu agar dapat menghasilkan pengeluaran getah lebih tinggi.

"Sistem torehan intensiti rendah iaitu kaedah baharu boleh diperkenal kepada pekebun," katanya.

Sementara itu dari segi permintaan, perdana menteri berkata beliau sudah mengarahkan agar sebahagian jalan raya menggunakan getah di bahagian permukaannya.

Najib berkata walaupun kos permulaan pembinaan jalan menggunakan getah 15 peratus lebih tinggi, ia dapat menjimatkan kos penyelenggaraan dengan sangat ketara.

"Sektor ini (getah) masih punya masa depan cerah, selain getah masih ada permintaan, kita dapati (batang) pokok getah juga adalah sumber untuk buat perabot, bekalan kayu, sangat tinggi pemintaannya.

"Di Amerika Syarikat misalnya, permintaan terhadap kayu getah sangat tinggi, maka sektor getah termasuk pekebun kecil akan terus dimajukan kerajaan," katanya.

Mengenai bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil dan penoreh getah, perdana menteri berkata bantuan sebanyak RM200 sebulan untuk tiga bulan (November, Disember dan Januari) itu akan diteruskan pada tahun depan.

Beliau berkata bayaran bagi tahun ini bermula hari ini (1 Nov) akan dibuat terus ke akaun bank penerima atau secara tunai atas keadaan tertentu.

Katanya lebih 500,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara menerima manfaat bantuan bernilai RM300 juta itu, termasuk lebih 75,000 di Kedah, membabitkan peruntukan sebanyak RM45 juta.

Dalam pada itu, Najib berkata rakyat Kedah menerima lebih RM1 bilion dana suntikan daripada kerajaan persekutuan merangkumi pelbagai insentif termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia.

"Kalau orang kata kerajaan menyusahkan rakyat melalui GST, sebenarnya kita kutip, kita pulang balik (kepada rakyat) itu kaedah terbaik.

"Mesti ada punca pendapatan, apa salahnya kenakan (cukai) pada orang yang ada kemampuan dan cuba elak bayar cukai, apa salah kenakan pada pekerja asing, bayarlah GST, pulangkan balik kepada rakyat, orang kampung, penjawat awam, imam, bilal dan siak.

"Kalau kata harga barang naik, dulu tak ada GST pun barang naik. Harga mesti naik, jangan lempar tuduhan tak tentu arah... Ini semua mainan parti pembangkang, sebenarnya mereka tak mampu tadbir negara seperti Barisan Nasional," katanya.

-- BERNAMA