Tun Daim Zainuddin akan kekal sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Perdana Menteri, beliau tidak pernah memaklumkan bahawa CEP hanya akan berfungsi untuk 100 hari, sebaliknya majlis itu akan terus berfungsi atas keperluan kerajaan dan CEP masih perlu meneruskan tugas mereka.

“Saya tidak pernah nyatakan CEP hanya untuk 100 hari apabila mereka dilantik. Mereka akan jalankan tugas untuk mengesan wang hilang dan sebagainya. Itu bukan tugas saya.

“Saya tidak pakar dalam hal itu. Kami ada empat agensi yang sedang menyiasat 1Malaysia Development Berhad. Tun Daim Zainuddin mempunyai akses kepada semua maklumat.

“Saya rasa dia masih perlu meneruskan tugasnya. Saya tidak mahu beliau letak jawatan walaupun saya tidak bayar beliau gaji,” katanya pada sidang media di sini.

BACA: Syor CEP bertemakan tiga perkara teras untuk kerajaan PH - Daim

Semalam, Daim berkata beliau bercadang menemui Dr Mahathir untuk mengetahui kedudukan masa depan setelah mandat 100 harinya kini berakhir.

Menurut Daim, CEP akan mengemukakan laporan yang mengandungi perakuan-perakuannya kepada Dr Mahathir sebaik saja beliau pulang dari China.

Dr Mahathir sebelum ini pernah memaklumkan, CEP tidak akan dibubarkan dulu oleh kerana khidmatnya masih diperlukan.