Kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2017) 2018 bagi memohon bajet tambahan untuk perkhidmatan bagi tahun 2017 sebanyak RM7.12 bilion.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Sebahagian besar perbelanjaan itu diperuntukkan kepada Kumpulan Wang Terkanun iaitu sebanyak RM2.71 bilion, Kementerian Pendidikan (RM891 juta) dan Kementerian Pengangkutan (RM215 juta).

Perbelanjaan tambahan itu turut membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (RM235 juta), Kementerian Kesihatan (RM479 juta) dan Kementerian Dalam Negeri (RM804 juta).

Selain itu, perbelanjaan tambahan berkenaan akan diperuntukkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan perbelanjaan sebanyak RM82.1 juta.

Bacaan kali kedua bagi rang undang-undang itu akan dibuat pada mesyuarat Dewan Rakyat sesi ini.

Hari ini, Kementerian Kewangan mula menjawab bagi Perbahasan Titah Diraja yang melibatkan 25 kementerian yang dijadual selesai pada Khamis, 22 Mac ini.