Kerajaan negeri Melaka mengarahkan semua pihak dan agensi berkaitan supaya melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap Hospital Melaka di sini bagi memastikan tahap keselamatan hospital itu dalam keadaan terbaik.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata risiko keselamatan seperti kebakaran perlu dipastikan pada tahap sifar antara lain dengan memastikan alat memadam kebakaran berada pada tahap sempurna.

Selain itu beliau berkata pemeriksaan terhadap tahap pendawaian elektrik juga perlu diperiksa secara menyeluruh bagi memastikan pendawaian itu tidak menjadi punca bencana di hospital tersebut.

"Apakah rancangan respons kecermasan hospital itu, bagaimana tindakan yang perlu dilakukan bila hadapi bencana seperti kebakaran itu semua perlu diadakan pihak terlibat.

"Dalam perkara ini tiada kompromi sikap tidak apa dalam kalangan pihak terlibat terutama pengurusan hospital. Kita kena pastikan hospital ini mampu memberi perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Hospital Melaka yang terletak di Bukit Palah di sini ditubuhkan pada 12 Feb 1934 dan dilaporkan sebelum ini Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob serta kerajaan negeri sendiri telah menyuarakan keperluan pembinaan hospital baharu bagi memenuhi permintaan kesihatan rakyat yang semakin meningkat.

Terdahulu ketika menggulung ucapan penangguhan persidangan itu, Idris berkata kerajaan negeri memerlukan kerjasama semua pihak bagi menarik lebih banyak pelaburan masuk ke negeri ini.

"Kita menarik pelaburan mencapai berbilion setiap tahun namun semua ini tidak berlaku dengan sendirinya. Semua pihak termasuk Yang Berhormat semua perlu bersama kerajaan negeri bagi memastikan negeri ini berkembang maju untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

Melaka menerima RM6 bilion pelaburan tahun lepas dan RM855.79 juta pelaburan untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Speaker DUN Melaka Datuk Othman Muhamad kemudian menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian. - Bernama