Sebarang keputusan menaikkan harga rumah yang semakin tinggi saban waktu merupakan di bawah skop kuasa kerajaan di setiap negeri.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, antara punca kenaikan harga rumah adalah faktor lokasi, caj premium serta kos yang ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, ia termasuk caj pembangunan, caj pematuhan selain kuota yang ditetapkan kerajaan negeri kepada pihak pemaju dalam penyediaan rumah kos rendah.

"Contohnya seperti di negeri Selangor, sebarang pembangunan yang melebihi lima ekar, pihak pemaju perlu membina 30 peratus rumah mampu milik atau rumah Selangorku.

"Oleh demikian, pihak pemaju akan meningkatkan harga jualan bagi rumah harga bebas untuk menampung kos penyediaan rumah mampu milik atau Selangorku tersebut.

"Sedangkan kerajaan negeri Selangor tidak mengeluarkan apa apa sumbangan kewangan untuk pembangunan tersebut tetapi sekadar menentukan dasar sahaja," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Setiu (BN), Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang mahu tahu adakah Kerajaan menyedari bahawa harga rumah sentiasa naik.

Selain itu Che Mohamad juga melihat situasi itu amat membimbangkan rakyat selain mahu penjelasan apakah sebenarnya yang menyebabkan perkara itu terjadi.

Pada Rabu, Noh menjelaskan, Kerajaan bersedia untuk membuka semula permohonan Skim Pembayaran Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) yang berakhir pada 30 Jun lalu bagi memberi peluang lebih ramai rakyat mendapat kemudahan itu.

Skim MyDeposit disediakan kerajaan kepada pembeli rumah pertama yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM10,000 sebulan melibatkan pemberian sumbangan sebanyak 10 peratus daripada harga jualan atau maksimum RM30,000 yang mana lebih rendah kepada pembeli rumah pertama untuk membantu mereka membeli rumah yang berharga kurang RM500,000 seunit.

Langkah tersebut sedikit sebanyak dapat membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) yang sebelum ini sering terpinggir daripada mendapat bantuan kerajaan sehingga menyebabkan mereka hanya mampu menyewa rumah.