Kerajaan negeri akan berjumpa dengan agensi kerajaan yang ditegur atas kelemahan dari segi pengurusan dan kawal selia dalam Laporan Ketua Audit Negara tahun 2016 Siri Dua yang dikeluarkan pada Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri Datuk Badrol Hisham Hashim berkata perjumpaan itu bertujuan untuk mendapatkan penjelasan daripada agensi yang terlibat.

"Kita akui memang terdapat kelemahan dalam agensi yang terbabit dan antara masalah yang timbul ialah apabila berlakunya peralihan sesebuah kepimpinan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyebabkan berlaku kekosongan hingga menyebabkan terjadinya kecuaian.

"Saya telah menggesa semua kepimpinan PBT untuk sentiasa peka dengan tempoh masa yang diberikan dalam mengurus dan melaksanakan sesuatu tugas kerana ini perlu bagi menjaga integriti agensi mereka," katanya selepas merasmikan program Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) 5 Brigade Kidstatic Celebration di sini, pada Selasa.

Katanya, di Kedah terdapat 12 PBT yang mana ada di antaranya menunjukkan prestasi memberangsangkan serta cemerlang hingga membolehkan mereka memperoleh anugerah dan ada yang sebaliknya.

Badrol Hisham berkata pegawai-pegawai PBT juga perlu menyuarakan pendapat dan pandangan sekiranya merasakan terdapat kesalahan yang dilakukan oleh pihak atasan bagi memastikan keseluruhan agensi tidak terjejas.

"Semua pihak dalam PBT perlu memainkan peranan kerana jika ada berlaku kesalahan, ia boleh menyebabkan keseluruhan agensi terkena tempiasnya.

"Saya juga rasa pegawai-pegawai PBT ini perlu diberi peluang untuk berkhidmat di luar kawasan mereka bagi memupuk suasana kerja yang baharu dalam membantu meningkatkan perkhidmatan dalam agensi terbabit," katanya.

Pada Isnin, Laporan Ketua Audit Negara tahun 2016 Siri Dua mendapati berlaku kelemahan dalam pengurusan aktiviti oleh tiga jabatan dan agensi kerajaan negeri Kedah dari segi pengurusan dan kawal selia.

Pengauditan itu dilaksanakan terhadap Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

-- BERNAMA