Kerajaan negeri seharusnya akur dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan negeri tidak boleh mewujudkan peraturan lain kerana mana-mana peraturan yang bertentangan dengan Kerajaan Persekutuan, peraturan itu boleh terbatal dengan sendirinya.

“Jadi tidak ada pilihan. Bila kerajaan umum PKPP dengan peraturan yang akan diwartakan nanti, kerajaan negeri perlu akur kepada PKPP ini. Jika tidak, mereka tidak boleh laksanakan dari segi penguatkuasaan kerana mereka tiada akta.

“Kalau kerajaan Pulau Pinang, contohnya, kalau tidak mahu laksanakan penguatkuasaan, pegawai dari peringkat persekutuan boleh ambil tindakan undang-undang sekiranya ada kegagalan mematuhi SOP kerana undang-undang peringkat persekutuan boleh dilaksanakan di peringkat negeri,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan media berkaitan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menegaskan negeri itu tidak akan melaksanakan PKPP pada 10 Jun nanti.