Kerajaan negeri Sabah hari ini disyor supaya mengenakan syarat kepada pemaju perumahan untuk membina 50 peratus rumah mampu milik daripada projek perumahan yang akan dibina mereka bagi menangani isu harga rumah yang melambung tinggi di negeri ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata syarat seperti itu penting untuk berlaku adil kepada ramai rakyat Sabah yang ingin memiliki rumah namun tidak berupaya berbuat demikian kerana harga rumah, terutama di bandar utama seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu, jauh lebih tinggi berbanding tempat lain di Malaysia.

"Kalau boleh saya ingin cadangkan kerajaan negeri memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada rumah yang dibina oleh pemaju di negeri Sabah ini adalah jenis yang mampu dimiliki oleh rakyat negeri Sabah. Bila ini berlaku, barulah rakyat negeri Sabah mempunyai akses kepada perumahan yang mempunyai harga yang berpatutan.

"Kalau tidak mereka (pemaju) hanya terus membina rumah-rumah yang mahal dan mengaut keuntungan. Tidak ada guna kita ada rumah yang begitu banyak di Sandakan, Lahad Datu dan Tawau kalau harga rumah itu di luar kemampuan penduduk di bandar-bandar tersebut.

"Kita mesti tegas. Ini berlaku bukan di negeri Sabah sahaja. Di negeri-negeri lainpun sudah mengenakan had (kuota) 50 peratus ini (kepada pemaju)," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek Dataran Kota Belud di sini hari ini.

Sebagai contoh, kata Abdul Rahman, di Negeri Sembilan, mana-mana pemaju yang ingin membangunkan projek perumahan di negeri berkenaan diwajibkan 50 peratus daripada rumah yang dibina itu adalah rumah dalam kategori mampu milik.

Sambil menyokong gesaan kerajaan Sabah baru-baru yang meminta pemaju perumahan agar mengurangkan keuntungan yang dikaut mereka melalui harga rumah yang melambung, Abdul Rahman juga mencadangkan kepada kerajaan negeri agar mengambil tindakan tegas dan mengekang spekulator hartanah serta pelabur hartanah yang memanipulasi harga sektor berkenaan.

Katanya biasanya golongan spekuator hartanah ini membeli rumah hanya bertujuan untuk menjualnya semula selepas rumah berkenaan siap dibina sekali gus memperoleh keuntungan mudah melalui kegiatan spekulasi mereka.

Bagi pelabur hartanah pula, katanya, mereka biasanya membeli banyak unit rumah sekali gus dan menyimpannya untuk beberapa tahun dengan harapan nilai rumah itu akan naik pada masa depan dan menjualnya.

"Walapun ini adalah hak mereka, tetapi saya ingin sarankan, kalaupun mereka ada duit untuk melabur, janganlah gunakan sektor perumhan ini untuk melabur. Pergilah ke pasaran saham atau dalam mana-mana unit amanah.

"Jangan gunakan rumah sebagai tempat pelaburan jangka pendek (untuk mengaut keuntungan) kerana ini tidak adil kepada mereka yang ingin membeli rumah dengan harga berpatutan di Sabah. Kalau mereka (pelabur hartanah) membeli, mereka beli hingga sederet (unit rumah). Mereka bolot semua rumah untuk pelaburan...Jangan kacau sektor perumahan di Sabah ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Abdul Rahman berkata kerajaan menyedari kegiatan pelabur hartanah berkenaan dan Bank Negara sudah memperkenalkan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) di mana penjualan rumah ketiga, keempat dan seterusnya akan dikenakan cukai yang tinggi.

Abdul Rahman juga mengingatkan pemaju agar tidak membina rumah yang terlalu canggih seperti penyediaan kolam renang, tasik dan pelbagai kemudahan lain kerana ia juga menjadi faktor kepada peningkatan kos projek seterusnya memberi kesan kepada kenaikan harga rumah.